When & Where
January 13, 2023 (12:00 am) – January 17, 2023 (12:00 am)
January 13, 2023 (12:00 am) – January 17, 2023 (12:00 am)
November 27, 2022 (12:00 am) – November 27, 2022 (12:00 am)
November 25, 2022 (12:00 am) – November 25, 2022 (12:00 am)

Bermula dari usaha murni membantu mangsa banjir pada 14 Januari 2017, UMT dan Celcom Axiata Berhad mula menjalinkan kerjasama strategik khususnya pada pembangunan usahawan di kalangan pelajar. Sejak dari itu, kedua-dua institusi ini tidak menoleh ke belakang lagi. Hasilnya, satu Memorandum Persefahaman telah ditandatangani oleh kedua-dua institusi ini pada 9 April 2021 di The Everly Putrajaya Hotel oleh Prof. Dato Dr. Nor Aeini Haji Mokhtar, Naib Canselor UMT dan Encik Mohamad Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom Axiata Berhad (Celcom).

Sumbangan Celcom kepada UMT sangat signifikan. Ini adalah melalui program flagship KPT iaitu AIxCHANGE dengan melantik CEO Celcom sebagai CEO@Faculty 1.0 untuk tempoh dua tahun (2019-2020) daripada keseluruhan 60 CEO lantikan KPT. Sepanjang tempoh pelbagai program telah dilaksanakan melibatkan UMT seperti program CEO@Faculty Talk secara atas talian yang melibatkan lebih 1,000 penonton; penempatan sangkutan akademik di Celcom melalui program Felo CEO@Faculty Programme 2.0 serta program sangkutan pegawai bukan akademik di Celcom.
Selain itu, Celcom sangat aktif dalam membantu pelajar melalui program keusahawanan dan pameran kerjaya yang dapat membantu kebolehpasaran pelajar. Celcom telah membantu menyediakan menyediakan ekosistem perniagaan secara atas talian menerusi program SiswaCommerce dan SiswaMall yang melahirkan graduan holistik dan mampu berdikari dalam dunia perniagaan.
Kolaborasi strategik antara UMT dan Celcom juga telah melengkapkan konsep ‘quadruple helix’ yang melibatkan kerjasama antara universiti, kerajaan, industri dan komuniti. Kolaborasi ini sejajar dengan aspirasi global melalui Sustainable Development Goals (SDG) oleh United Nation.




Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) Kluster Maritim melaksanakan Program Intervensi Kebolehpasaran Graduan (GE) yang akan dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Program ini menjangkakan untuk melahirkan graduan UMT yang mempunyai kemahiran seiring dengan keperluan industri seterusnya mencapai matlamat untuk meningkatkan peratus Kebolehpasaran Graduan UMT dan Maritim khususnya.
Program ini menawarkan tiga jenis latihan/kursus yang melibatkan
1) Shipbuilding/Ship Repair Preparatory
2) Gas Pipe Insulation
3) Occupotional Safety and Health Certificate.
Bermula 3 September 2019, Program Sijil Profesional Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di bawah Program GE ICoE Kluster Maritim, UMT telah mengadakan kelas di Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT. Program ini diadakan selama 22 hari kepada pelajar-pelajar yang akan menamatkan pengajian mereka pada tahun ini.












Pada 26 hingga 27 September yang lepas, Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri (PIJI) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah mengadakan satu bengkel pemindahan ilmu berkenaan keusahawanan digital yang bertempat di makmal komputer Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim (PPPPM) UMT. Bengkel ini dihadiri oleh lebih daripada 30 orang peserta dan berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 5 petang selama 2 hari. Objektif bengkel ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan latihan kepada peserta yang juga sebahagian dari responden yang terlibat di dalam Profiling Keusahawanan Digital bagi komuniti Telaga Papan dan sekitar daerah Setiu yang telah berlangsung dari April hingga Julai 2018 yang lalu. Projek profiling Keusahawanan Digital bagi komuniti di daerah Setiu ini mendapat dana dalaman UMT melalui geran “Knowledge and Technology Assimilation Grant Scheme (KTAGS).

Melalui bengkel ini, peserta yang juga usahawan dari pelbagai bidang diberi pendedahan tentang peluang dan cabaran dalam keusahawanan digital yang telah disampaikan oleh Dr. Noorhaslinda bt Kulub Abd Rashid dan Dr. Roseliza binti Mat Alipiah dari Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi (PPPSE) UMT untuk slot pertama. Slot kedua pula disampaikan oleh Dr. Zaleha binti Mohamad (PIJI) merangkap ketua projek Profiling Keusahawanan Digital bagi komuniti di daerah Setiu, yang bertajuk “Rancangan Perniagaan”. Seterusnya Dr. Shayuti binti Mohamed Adnan dan Prof. Madya Dr. Marhana binti Mohamed Anuar dari PPPPM yang membentangkan tajuk kepakaran mereka iaitu “Cukai di dalam Perniagaan” dan “Strategi Promosi Dalam Perniagaan”. Slot terakhir di sebelah pagi adalah daripada wakil industri, iaitu dari TOP IT Sdn. Bhd yang membentangkan mengenai laman jualan Portal Payang.my yang mana merupakan laman jualan online yang menjual barangan yang dihasilkan dari usahawan di negeri Terengganu. Slot di sebelah petang untuk hari pertama disampaikan oleh seorang lagi wakil industri iaitu Alif Rafie Resources Enterprise yang memfokuskan bagaimana untuk berniaga di dalam portal “Shoppe.com” dan mendedahkan kepada peserta tentang kepentingan mempunyai laman web sendiri untuk jualan secara digital.

Pada hari kedua dipenuhi dengan slot dari MDEC melalui jurulatih bertauliah dari agensi tersebut, Mohd Zulhazri bin Azmi atau lebih dikenali sebagai “Coach Zul” dari IQP Solution Master Coach. Antara pengisian dari adalah reka bentuk web seperti poster dan lain – lain melalui laman web “Canva.com” serta membuat laman perniagaan di dalam Facebook dan bagaimana untuk membuat iklan didalam laman tersebut. Menurut Coach Zul, menerusi bengkel itu, pihak MDEC dapat memberi pendedahan kepada peserta supaya lebih ramai menyokong program pembangunan usahawan digital oleh MDEC.
“Kita membantu usahawan yang bekerja untuk menjana pendapatan secara lebih tinggi, contohnya memberi pendedahan kepada mereka bagaimana untuk membuat pengiklanan supaya mereka dapat menjana pendapatan lebih tinggi berbanding sebelumnya,” katanya.

Secara umumnya, para peserta amat berpuas hati dengan penganjuran program sebegini yang diadakan secara percuma dan komprehensif, merangkumi teori dan praktikal di dalam aspek keusahawanan digital. Program bersama komuniti telah berjaya meningkatkan minat di kalangan komuniti Setiu terhadap perniagaan secara digital. Peranan PIJI sebagai pusat sehentu komuniti amat penting dalam melahirkan komuniti yang berdaya saing dan celik IT dalam menangani cabaran masa depan.
Pihak Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri (PIJI) telah menerima lawatan rasmi dari Pusat Kolaborasi Universiti – Industri (CIUC) Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula dari 25 hingga 26 Oktober yang lalu. Lawatan ini adalah bertujuan untuk pihak CIUC UUM menimba pengalaman dan bertukar pendapat bersama pihak PIJI UMT berkenaan program-program kolaborasi antara universiti bersama komuniti setempat dan bagaimana pihak PIJI menjalankan projek-projek pemindahan ilmu oleh pakar-pakar di universiti kepada ahli-ahli komuniti yang berkenaan. Lawatan ini diketuai oleh Pengarah CIUC UUM iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Sobri Don dan disertai oleh 4 orang pegawai dari CIUC UUM.

Pada hari pertama program, delegasi dari UUM tersebut telah mengadakan perbincangan bersama pihak PIJI UMT dalam menjayakan program-program libatsama komuniti dan industri yang telah dan akan dibangunkan oleh kedua-dua universiti. Perbincangan ini juga telah disertai bersama oleh wakil dari Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) yang turut sama bertukar pandangan berkenaan program-program libatsama komuniti ini. Hasil dari perbincangan ini akan dapat membantu ketiga-tiga pihak dalam mempertingkatkan keberkesanan dalam menjayakan program-program dan projek pemindahan ilmu atau kerjasama industri serta masyarakat.
Dalam program lawatan rasmi CIUC UUM ini juga, delegasi dari CIUC juga telah dibawa melawat fasiliti-fasiliti penyelidikan dan pembelajaran UMT. Antara fasiliti-fasiliti yang dilawati oleh delegasi tersebut adalah di Galri Penyelidikan INOS, Hatcheri AKUATROP dan Makmal Simulasi Kapal di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan (PPKK). Hasil daripada lawatan ke fasiliti-fasiliti ini akan dapat membantu pihak CIUC UUM dalam merancang program-program yang melibatkan industri dan komuniti di universiti mereka nanti.


Pada hari kedua pula, PIJI telah membawa pihak CIUC UUM melawat tapak-tapak projek pemindahan ilmu yang melibatkan libatsama komuniti yang telah dijalankan oleh PIJI dan kerjasama dengan komuniti-industri terbabit. Tapak projek pertama adalah di pejabat dan tapak pertanian GM Peladang Sdn Bhd di Kuala Ibai, Kuala Terengganu. Delegasi dari UMT dan UUM telah disambut oleh Pengerusi syarikat GM Peladang Sdn Bhd sendiri iaitu Tuan Haji Ghazali Muda dan telah membuat penerangan berkenaan projek-projek dan kerjasama yang telah dijalankan oleh pihak GM Peladang bersama UMT. Seterusnya, delegasi telah dibawa ke Setiu Boardwalk di Kuala Setiu untuk meninjau hasil penyelidikan dan program komuniti yang telah dijalankan oleh UMT. Seterusnya, delegasi UUM juga telah dibawa ke sebuah kilang pemprosesan pizza yang sebelum ini telah mendapat bantuan hasil dari penyelidikan yang dijalankan oleh pihak UMT iaitu di Koperasi Bukit Guntong Kuala Terengganu Berhad yang telah menjalankan “Projek Penghasilan Pizza Berkalsium Menggunakan Tepung Hidrosiapatit Daripada Sisa Tulang Ikan” bersama UMT.
Diharapkan lawatan rasmi dari delegasi UUM ini memberikan impak dan manfaat yang maksimum kepada komuniti yang akan terlibat nanti.

PASAR UCTC MY BEST BUY NBOS – UMT 2018 akan diadakan semula pada SETIAP RABU bermula 17 OKTOBER 2018. Pasar ini merupakan program pasar anjuran bersama Pusat Pemindahan Ilmu & Jaringan Industri, UMT dengan FAMA Negeri Terengganu. PASAR UCTC MY BEST BUY NBOS – UMT 2018 akan diadakan semula bertempat di Parkir Pusat Islam Sultan Mahmud (bersebelahan Kompleks Siswa) dari jam 2.00 petang hingga 7.00 malam.
Semua warga UMT, Pelajar UMT dan Komuniti sekitar adalah dijemput untuk memeriahkan PASAR UCTC MY BEST BUY NBOS – UMT 2018 akan datang.
JOM DATANG BERAMAI-RAMAI!!!

Tahniah kepada UMT kerana telah mendapat Naib Johan daripada 53 penyertaaan dari 7 universiti, Unimaker IR 4.0: Transcending The Future, East Region yg telah berlangsung di UniSZA pada 7 Oktober yang lalu. Inovasi bertajuk “Ez-Larvae Counting System for Fish and Shrimp using Image Processing Techniques” ini disertai oleh 3 org pelajar tahun akhir PPSPA, iaitu Mohammad Afiq Mohd, Wan Nor Asmida Wan Muhammad dan Nik Muhammad Amirulddin Mohd Sakeri dan diselia pensyarah, Dr Ezmahamrul Afreen b Awalludin. Program ini diselaraskan oleh PIJI dan dibantu oleh beberapa pensyarah sebagai penasihat.
Bagi mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 dan menghasilkan golongan yang memiliki ciri keusahawanan tinggi daripada aspek inovasi, Kementerian Pendidikan (KPM) dan empat universiti awam (UA) bekerjasama untuk menganjurkan UNIMAKER 2018.

Pertandingan dianjurkan KPM melalui Jabatan Pendidikan Tinggi itu diadakan secara dua peringkat, iaitu Peringkat Zon dan Peringkat Kebangsaan yang bakal berlangsung pada November ini di Kuala Lumpur. Hos zon bagi pertandingan itu adalah Universiti Sains Malaysia (USM) untuk Zon Utara, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (Zon Selatan), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) (Zon Timur) dan Universiti Malaya (UM) (Tengah).
Pertandingan itu berpotensi melatih dan menggalakkan peserta untuk berfikir, berinovasi serta membangunkan penyelesaian inovatif bagi mendepani Revolusi Industri 4.0. Peserta akan diberikan pendedahan melalui Bootcamp bagi menerangkan dengan lebih lanjut mengenai pertandingan yang bakal dibimbing pakar daripada Lingkaran Empat atau Quadruple Helix, iaitu pihak universiti, kerajaan, industri dan masyarakat. UNIMAKER yang pertama kali dianjurkan akan menjadi langkah pertama dalam memupuk minat pelajar terhadap ideologi Makers untuk mereka bentuk, menyelesaikan permasalahan, menggodam, membina, mencabar, menggunakan kemahiran inovatif dan pemikiran kreatif bagi mempamerkan idea serta projek bakal dilaksanakan.

